Posts Tagged ‘kontrak pelaburan’

Aku Tanya Apa Khabar…

Wednesday, December 24th, 2014

Pelaburan emas.

Nak melabur atau nak buat peleburan? Jika emas dibuat pelaburan dengan cara yang sah tidak mengapa dan tidak menjadi hal. Namun yang demikian hal jika berlaku peleburan yang entah berapa banyak kes sudah berlaku.

Kesian pun ada sedih pun ada. Berkilo-kilo ringgit lebur tanpa dapat balik keuntungan yang diharap-harapkan…

Rugi masa dan wang ringgit.

Mohon jangan terjebak… Ikuti sedikit nasihat yang berguna ini….

===========================

Pelaburan emas anda adalah haram!
===========================

Saya mendapat banyak PM dan mesej dan email bertanyakan tentang ‘pelaburan’ emas yang kini banyak ditawarkan di facebook.

Yang terlibat mempromosinya pula bukan calang-calang orang. Ada ustaz, ada pula hafiz quran.

Modus operandinya adalah:

1. Kita bayar sebanyak RM XXX.

2. Kita akan dapat bayaran bulanan RM YY, secara tetap selama beberapa bulan. Jumlahnya akan melebihi bayaran awal kita di nombor 1 di atas.

Secara ringkasnya, urusniaga sebenar seperti diterangkan kepada saya adalah seperti berikut:

1. Kita beli emas sebanyak RM XXX dari syarikat.

2. Kita jual semula emas tersebut kepada syarikat dengan bayaran RM YY sebulan (ansuran) selama beberapa bulan.

Malangnya urusniaga sebenar ini tidak diberitahu kepada pelanggan. Apa yang diberitahu kepada pelanggan adalah ini sebuah pelaburan.

==================================

Kenapa ia bermasalah dari sudut muamalat Islam?
==================================

Isu syariah yang dapat dicungkil adalah seperti berikut:

a) Kontrak/Akad yang diberitahu kepada pelanggan adalah tidak jelas. Adakah ia sebuah pelaburan, atau ia jual-beli biasa. Kegagalan memberitahu pelanggan jenis kontrak/akad sepatutnya sudah menimbulkan tanda tanya.

b) Jika ia adalah kontrak pelaburan, memberi pulangan tetap (fixed return) adalah haram.

c) Jika ia adalah kontrak jual beli, jual beli emas secara ansuran adalah haram. (Ada khilaf berkenaan barang kemas yang diperbuat dari emas).
Jika promoter menggunakan hujah bahawa duit kertas bukanlah ribawi dan boleh digunakan untuk membeli sebarang emas secara ansuran, lihat pula point di bawah:

d) Menjual sesuatu kepada seseorang dengan syarat dia menjual semula kepada penjual asal adalah haram mengikut pendapat empat mazhab.

‘Pelaburan’ emas begini bukan sekadar haram, tetapi haram berlapis-lapis.

Periksa semula kontrak dan struktur ‘pelaburan’ emas anda. Adakah ia sebuah pelaburan, atau jual-beli, atau apa?

Ok?

Saya yang menyampaikan dan mengingatkan,

Ashraf Latif.
Mantan Penolong Pengurus Risiko Syariah di sebuah bank Islami

p/s:

1. Ada isu lain jika menganggap duit kertas yang sah diperlakukan sebagai bukan barangan ribawi, seperti isu kewajipan zakat dan pengiraan kadar nisab untuk zakat untuk duit kertas.

2. Mohon share.