Posts Tagged ‘aduhai isteri’

Isteri pun boleh bohong suami

Saturday, February 15th, 2014

Isteri pun boleh bohong suami
MUHAMAD MAT YAKIM
14 Februari 2014

KEPADA suami, pernahkah anda dibohongi isteri? Isteri pula, pernahkah anda membohongi suami?

Saya tidak mengharap jawapan untuk soalan itu kerana pernah atau tidak pernah, sedar atau tidak, jawapan hanya ada pada diri anda sendiri. Cuma apa yang saya boleh katakan, tidak salah bagi isteri berbohong kepada suami, bergantung pada bagaimana dan apa tujuan pembohongan itu!

Mungkin ada yang masih ingat, tidak lama dahulu saya pernah menulis bahawa tidak dianggap salah bagi seseorang suami membohongi isterinya, juga bergantung pada bagaimana dan apa tujuan pembohongan itu.

Justeru, apa yang saya tulis ini adalah untuk menjelaskan bahawa sebenarnya keharusan untuk berbohong itu sama ada suami kepada isteri atau isteri kepada suami hukumnya sama selagi berada dalam ruang lingkup syarat-syarat yang diharuskan.

Saya nak bagi contoh, perut saya adalah seumpama tembikai masak dari ladang yang paling subur. Sudah sekian lama, apabila saya minta komen isteri mengenai ‘tembikai masak’ saya ini, dia kata “ok saja!”

Apabila saya merungut, dia menyabarkan saya. Ini meyakinkan saya bahawa dia memang tidak kisah. Lama kelamaan, saya pun ikut tidak kisah. Sebagai suami yang baik, keutamaan saya sudah tentu kepada isteri. Saya bertanggungjawab untuk jaga pandangannya terhadap saya. Apa yang dia tidak suka, saya perlu elak termasuklah dalam hal imej dan penampilan.

Jadi apabila dia kata ‘ok’ atau ‘tak kisah’ saya pun jadi tidak kisah. Makan minum bak kata orang, ‘membujur lalu, melintang patah’.

Tiba-tiba beberapa hari lepas, di luar pengetahuan saya, isteri beli secara online tali pinggang menggunakan kuasa bateri yang gunanya untuk membakar dan memecahkan lemak pada ‘tembikai masak’ saya.

Ketika tali pinggang itu dihantar, hanya saya yang berada di rumah dan terkejut juga saya apabila ianya adalah untuk saya sedangkan bukan saya yang memesan tali pinggang itu. Dan lebih terkejut lagi apabila kotaknya dibuka, saya tengok rupa tali pinggang itu seakan yang selalu dibawa Stone Cold dan Tripple H dengan gambar lelaki perut berketak.

Setelah membelek itu ini, baharulah saya faham apa yang selama ini dikata ok oleh isteri mengenai ‘tembikai masak’ saya sebenarnya tidak ok. Niat dan tujuannya untuk menjaga hati saya supaya tidak tersinggung!

Memang dalam kebanyakan keadaan, kita suami isteri perlu berterus terang. Tetapi bayangkan kalau kita bersikap terlalu jumud dan langsung tidak ada keanjalan dalam komunikasi, bagaimana perasaan pasangan?

Hakikatnya, kita adalah manusia yang punya hati dan perasaan. Ada ketika kita boleh terima kenyataan berterus terang orang lain, dan ada masanya juga kita akan tersinggung meskipun apa yang dikata itu betul.

Dalam konteks saya dengan isteri, sudah tentu sukar bagi saya untuk terima malah mungkin saya akan merajuk tidak makan nasi berhari-hari jika dia menjawab begini: “Betullah, memang perut abang tu boroi, macam orang mengandung 12 bulan. Buruk la.. Eeee, tak suka la tengok!!!”

Lalu apabila dia guna strategi dengan membelikan saya tali pinggang Stone Cold itu, saya terima malah saya teramat faham mesej yang cuba disampaikannya bahawa dia memang tidak suka ‘tembikai masak’ saya. Maka saya pun terima hadiah itu dengan senang hati dan memakainya setiap hari. Sekarang saya hanya tunggu masa untuk dipanggil ‘abang ketak’!

Berbalik kepada soal bohong yang diharuskan, hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim daripada Ummu Kalsum RA bahawa berbohong diharuskan dalam tiga keadaan iaitu ketika berperang, mendamaikan dua pihak yang bermusuhan dan juga antara suami isteri untuk menjaga hati ataupun menggembirakan hati satu sama lain sekali gus memantapkan lagi kebahagiaan rumah tangga.

Seorang ustaz memberitahu saya, pembohongan seperti ini disebut kazbul beidh atau white lie kata orang putih. Istilah orang kita, bohong sunat tetapi saya tidak suka istilah itu kerana sunat dikaitkan dengan Rasulullah SAW sedangkan Nabi sifatnya siddiq, tidak pernah berbohong. Wallahua’lam.

Rahsia Menambat Nafsu Isteri – Ebook terbaik buat para suami yang ingin memuaskan isteri dengan cara yang sensasi

Aduhai Isteri, komen Datuk Jalil Ali

Friday, February 14th, 2014

Aduhai Isteri, komen Datuk Jalil Ali
MUHAMAD MAT YAKIM
31 Mei 2013

SAYA jadi wartawan didorong awalnya oleh ketagihan terhadap  pojok ‘Helo-Helo Sayang’ dalam akhbar Bacaria pada 1982. Ketika itu, saya bersekolah darjah lima di SK Mahang, Kulim, Kedah.

Pada setiap Rabu, saya minta izin keluar ke kedai Cina Sok Sek untuk beli Bacaria. Balik ke sekolah, cikgu-cikgu pula pinjam Bacaria saya.

Saya begitu menggilai pojok  Boonlert Pratchai dan berhajat mahu jumpa  ‘Siam’ itu.

Pada 2003, saya menyertai Karangkraf, sebagai wartawan Bacaria. Bos saya, Datuk A Jalil Ali. Selepas beberapa tahun, barulah saya tahu rupanya bos saya itulah ‘Siam’ yang saya cari-cari selama ini.

Pada 2013 ,  ‘Boonlert Pratchai’ yang rupa-rupanya bukan Siam tetapi Jawa itu  menulis prakata buku terbaru saya, ADUHAI ISTERI. Ini komennya:

Maaf cakap, pada hemat saya Muhamad Mat Yakim memang penulis yang nakal.

Petikan di bawah adalah sebahagian kecil dari sekian banyak fakta yang saya ada untuk membuktikan kenakalannya.

Dia menulis: “Bagi pasangan yang normal pun apabila mencecah usia ‘4 series’ ini, merempitnya tidak lagi sederas dahulu. Lampu kalimantang di rumah kita pun, jika yang baru, sekali tekan suis sahaja sudah terus menyala. Tetapi yang sudah lama digunakan, pasti ada lip lapnya beberapa kali sebelum benar-benar menyala…”

Membacanya sekilas pandang, frasa di atas biasa sahaja, macam tidak ada apa-apa. Tetapi setelah ditafsirkan makna di sebalik kata-kata biasa itu, baru terasa ‘ummph’nya.

Biar saya tafsirkan: 4 ‘series’ itu ertinya usia yang sudah melewati 40 tahun.

‘Merempitnya tidak lagi sederas dahulu’ ertinya dalam bahasa yang beralas, ‘keinginan untuk berjimak sudah kendur.’

Ada pun, lampu kalimantang dalam artikel berkenaan ertinya alat kelamin lelaki. Tentu pembaca dapat buat tafsiran sendiri apabila dia menulis: “kalau yang baru, sekali tekan suis sudah menyala. Kalau yang sudah lama digunakan, pasti akan ada lip-lapnya beberapa kali sebelum benar-benar menyala.”

Terus terang, ayat terakhir; “Itu pun nasib baik masih menyala…” betul-betul mencabar @ menyindir saya. Maklumlah pada usia yang sudah melewati jauh ‘5 series’ lampu kalimantang saya lip-lapnya lebih kerap tetapi perlu ditegaskan, masih tetap menyala.

Apa pun, ADUHAI ISTERI buah tangan terkini ‘Che Mat’ bukan sahaja mengenai lampu kalimantang, tetapi juga mengenai aksesori-aksesori lain yang melekat pada tubuh kita .

Buku ini adalah panduan untuk semua peringkat usia, lebih-lebih lagi yang telah melewati status ‘4 series’. Sama ada lelaki atau wanita. Meneliti halaman demi halaman buku ini, pasti banyak ilmu rumah tangga yang boleh dipelajari malah boleh terus dicuba!

Kalau wanita atau isteri yang membaca, banyaklah yang akan diketahui mengenai ilmu memikat hati suami. Akan diketahui juga tabiat buruk suami ketika di belakang isteri. Kalau lelaki atau suami yang membaca, akan diketahui bermacam-macam ilmu, taktik atau helah untuk mengelentong isteri.

Pendek kata, buku ini boleh dijadikan ensaiklopedia rumah tangga.

Hatta, anak-anak muda atau gadis sunti pun akan mendapat manfaat sekiranya membaca buku ini. Sekurang-kurangnya mereka tahu hukum-hakam sebelum melangkah ke alam perkahwinan.Paling tidak pun dapat juga ilmu menghilangkan gubra ketika menghadapi jurunikah dan tahu serba sedikit petua masuk ke kamar pengantin pada malam pertama.

Dengan pendekatan mudah, tidak bombastik, bahasanya segar diselangi sindiran dan kelakar, ADUHAI ISTERI pada hemat saya lebih daripada sekadar panduan rumah tangga juga petua cinta.

Buku ini adalah hiburan sekali gus penawar duka. Setelah membacanya, saya berkesimpulan, Che Mat walaupun penulis yang nakal, tetap seorang suami yang baik.

Demikianlah. Walaupun Datuk A Jalil melabel saya penulis yang nakal namun seperti beliau, kenakalan saya juga terkawal. Kenakalan sekadar untuk dapat bahan cerita. Terima kasih bos!