Aduhai Isteri, komen Datuk Jalil Ali

Aduhai Isteri, komen Datuk Jalil Ali
MUHAMAD MAT YAKIM
31 Mei 2013

SAYA jadi wartawan didorong awalnya oleh ketagihan terhadap  pojok ‘Helo-Helo Sayang’ dalam akhbar Bacaria pada 1982. Ketika itu, saya bersekolah darjah lima di SK Mahang, Kulim, Kedah.

Pada setiap Rabu, saya minta izin keluar ke kedai Cina Sok Sek untuk beli Bacaria. Balik ke sekolah, cikgu-cikgu pula pinjam Bacaria saya.

Saya begitu menggilai pojok  Boonlert Pratchai dan berhajat mahu jumpa  ‘Siam’ itu.

Pada 2003, saya menyertai Karangkraf, sebagai wartawan Bacaria. Bos saya, Datuk A Jalil Ali. Selepas beberapa tahun, barulah saya tahu rupanya bos saya itulah ‘Siam’ yang saya cari-cari selama ini.

Pada 2013 ,  ‘Boonlert Pratchai’ yang rupa-rupanya bukan Siam tetapi Jawa itu  menulis prakata buku terbaru saya, ADUHAI ISTERI. Ini komennya:

Maaf cakap, pada hemat saya Muhamad Mat Yakim memang penulis yang nakal.

Petikan di bawah adalah sebahagian kecil dari sekian banyak fakta yang saya ada untuk membuktikan kenakalannya.

Dia menulis: “Bagi pasangan yang normal pun apabila mencecah usia ‘4 series’ ini, merempitnya tidak lagi sederas dahulu. Lampu kalimantang di rumah kita pun, jika yang baru, sekali tekan suis sahaja sudah terus menyala. Tetapi yang sudah lama digunakan, pasti ada lip lapnya beberapa kali sebelum benar-benar menyala…”

Membacanya sekilas pandang, frasa di atas biasa sahaja, macam tidak ada apa-apa. Tetapi setelah ditafsirkan makna di sebalik kata-kata biasa itu, baru terasa ‘ummph’nya.

Biar saya tafsirkan: 4 ‘series’ itu ertinya usia yang sudah melewati 40 tahun.

‘Merempitnya tidak lagi sederas dahulu’ ertinya dalam bahasa yang beralas, ‘keinginan untuk berjimak sudah kendur.’

Ada pun, lampu kalimantang dalam artikel berkenaan ertinya alat kelamin lelaki. Tentu pembaca dapat buat tafsiran sendiri apabila dia menulis: “kalau yang baru, sekali tekan suis sudah menyala. Kalau yang sudah lama digunakan, pasti akan ada lip-lapnya beberapa kali sebelum benar-benar menyala.”

Terus terang, ayat terakhir; “Itu pun nasib baik masih menyala…” betul-betul mencabar @ menyindir saya. Maklumlah pada usia yang sudah melewati jauh ‘5 series’ lampu kalimantang saya lip-lapnya lebih kerap tetapi perlu ditegaskan, masih tetap menyala.

Apa pun, ADUHAI ISTERI buah tangan terkini ‘Che Mat’ bukan sahaja mengenai lampu kalimantang, tetapi juga mengenai aksesori-aksesori lain yang melekat pada tubuh kita .

Buku ini adalah panduan untuk semua peringkat usia, lebih-lebih lagi yang telah melewati status ‘4 series’. Sama ada lelaki atau wanita. Meneliti halaman demi halaman buku ini, pasti banyak ilmu rumah tangga yang boleh dipelajari malah boleh terus dicuba!

Kalau wanita atau isteri yang membaca, banyaklah yang akan diketahui mengenai ilmu memikat hati suami. Akan diketahui juga tabiat buruk suami ketika di belakang isteri. Kalau lelaki atau suami yang membaca, akan diketahui bermacam-macam ilmu, taktik atau helah untuk mengelentong isteri.

Pendek kata, buku ini boleh dijadikan ensaiklopedia rumah tangga.

Hatta, anak-anak muda atau gadis sunti pun akan mendapat manfaat sekiranya membaca buku ini. Sekurang-kurangnya mereka tahu hukum-hakam sebelum melangkah ke alam perkahwinan.Paling tidak pun dapat juga ilmu menghilangkan gubra ketika menghadapi jurunikah dan tahu serba sedikit petua masuk ke kamar pengantin pada malam pertama.

Dengan pendekatan mudah, tidak bombastik, bahasanya segar diselangi sindiran dan kelakar, ADUHAI ISTERI pada hemat saya lebih daripada sekadar panduan rumah tangga juga petua cinta.

Buku ini adalah hiburan sekali gus penawar duka. Setelah membacanya, saya berkesimpulan, Che Mat walaupun penulis yang nakal, tetap seorang suami yang baik.

Demikianlah. Walaupun Datuk A Jalil melabel saya penulis yang nakal namun seperti beliau, kenakalan saya juga terkawal. Kenakalan sekadar untuk dapat bahan cerita. Terima kasih bos!

(Visited 24 times, 1 visits today)

Tags:

Leave a Reply

CommentLuv badge